Pengenalan

American Corner Kelantan yang ditempatkan di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah dirasmikan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kedutaan Amerika Syarikat, Bahagian Hal Ehwal Awam pada 7 Mac 2018 (Selasa) di Galeri Pembangunan, UMK Kampus Kota. MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato' Dr. Ibrahim Che Omar dan Ketua Pustakawan, En Azman Hashim. Manakala Kedutaan Amerika Syarikat diwakili oleh Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Sir Bradley A.Hurst disaksikan oleh Sarah Talalay dan Sadayan Riazurrahman. 

Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi perpustakaan akademik kedua di Malaysia yang menubuhkan American Corner di universiti. Ini adalah usaha perkongsian antara Amerika Syarikat dan UMK dalam menyediakan koleksi khas maklumat tentang Amerika Syarikat. American Corner UMK juga menyediakan maklumat terkini dan tepat tentang dasar Amerika Syarikat, pendidikan, geografi, sejarah, masyarakat, budaya, dan lain-lain kepada pelajar UMK dan orang awam di Kelantan. American Corner Kelantan menyediakan koleksi unik dan istimewa yang meliputi pelbagai pengetahuan untuk pelajar dan orang awam yang dapat mengakses bahan dari pelbagai aspek seperti keusahawanan, pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris, pendidikan dan sejarah Amerika Syarikat. Selain itu, sudut ini juga menyediakan bahan rujukan pentadbiran, kesusasteraan, seni dan budaya Amerika Syarikat serta perlindungan alam sekitar serta pembangunan mampan.

Objektif

Objektif utama adalah untuk mewujudkan satu sudut yang akan mengumpulkan bahan-bahan mengenai Amerika Syarikat dan menganjurkan aktiviti yang akan dimanfaatkan oleh komuniti UMK dan masyarakat setempat. Bahagian Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu. UMK untuk memastikan bahan yang disediakan adalah sesuai dan responsif kepada keperluan komuniti UMK dan komuniti setempat. American Corner UMK juga akan membantu pelajar UMK dan orang ramai dalam program keusahawanan yang akan memberi manfaat kepada semua 10,000 pelajar UMK. Sudut ini juga akan dilengkapi dengan bahan bercetak dan elektronik dan pihak perpustakaan akan sentiasa menganjurkan sesi atau program yang memberi manfaat kepada pensyarah dan pelajar. Sudut ini beroperasi di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK Kampus Bachok.

Koleksi

American Corner Kelantan menempatkan koleksi seperti buku rujukan, buku bergambar berkualiti tinggi, ensiklopedia dan majalah dan jurnal semasa Amerika Syarikat. Terdapat juga sumber elektronik dan dalam talian, DVD dan teknologi terkini yang terdapat di Amerika Syarikat.